Demonstrasi jalanan bukan budaya masyarakat pelbagai kaum di negara ini dan ia bukan cara konstruktif untuk orang ramai mencari penyelesaian terhadap masalah dalaman negara.

Bekas timbalan ketua polis negara, Tan Sri Mohd Bakri Zinin berkata walaupun Perlembagaan negara memberi hak kepada rakyat untuk mengadakan perhimpunan secara aman tetapi demonstrasi jalanan bukan cara untuk menyelesaikan sesuatu isu.

"Adakah anda dapat menyelesaikan masalah dengan demonstrasi jalanan? Jangan menyalahgunakan undang-undang yang sedia ada untuk mencapai apa-apa matlamat yang boleh menjejaskan keselamatan awam dan ekonomi negara.

"Tindakan ini bukan boleh menyelesaikan apa-apa tetapi menimbulkan masalah dan bebanan untuk orang lain. Sebaliknya, kita perlu memberi perhatian terhadap isu-isu lain dan bukan merancang demonstrasi," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas rancangan Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menganjurkan Himpunan Bersih 4.0 di ibu negara pada 29 dan 30 Ogos ini.

Sebelum itu, Mohd Bakri menyampaikan ceramah bertajuk 'Memartabatkan Undang-Undang dan Mengekalkan Kesejahteraan Awam Dalam Persekitaran Yang Mencabar: Perkongsian Pengalaman dengan Bekas Timbalan Ketua Polis Negara' di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) kampus Sabah di sini.

Seminar tersebut, anjuran Unit Pembangunan Sumber Manusia INTAN campus Sabah itu, dihadiri oleh 246 petugas sektor awam daripada agensi persekutuan dan negeri.

Mohd Bakri berkata orang ramai boleh menggunakan banyak saluran yang sedia ada untuk menyuarakan kebimbingan atau menyelesaikan masalah mereka seperti menerusi anggota Parlimen, wakil rakyat, jabatan dan kementerian.